Koridor Heart of Borneo (HoB) meliputi lanskap hutan seluas 22 juta hektar yang juga merupakan habitat kepada pelbagai kumpulan spesies hidupan liar seperti Orang Utan, Harimau Dahan, Gajah Borneo dan Badak Sumatra. Koridor ini bertujuan untuk mencipta hubungan ekologikal di antara kawasan terlindung di Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia. Koridor HoB ini adalah salah satu daripada kawasan pemuliharaan keutamaan global WWF’s dan juga kawasan pembangunan sosio-ekonomi  yang penting bagi penduduk tempatan dan penduduk asli. Ekonomi Hijau yang menjadi salah satu agenda koridor HoB akan dibangunkan di tapak seluas dua juta hektar, merangkumi kawasan dari bahagian utara Kalimantan Barat hingga ke tengah Sarawak. Projek ini dibiayai di bawah Inisiatif Iklim Antarabangsa, oleh Kementerian Persekutuan Jerman untuk Pemuliharaan Alam Semulajadi serta Pembinaan dan Keselamatan Nuklear. Projek ini juga bertujuan untuk membangunkan konsep pengurusan ekonomi hijau berdasarkan penggunaan tanah serta pelan pengurusan, yang turut mempromosi pertumbuhan ekonomi yang mesra alam menerusi koridor ini.